Latar Belakang

KENALI LEMBAGA PERANCANG BANDAR MALAYSIA
Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM) merupakan satu badan profesional yang ditubuhkan berlandaskan Akta Perancang Bandar 1995 [Akta 538]. Dengan tertubuhnya LPBM bermula 1 Januari 1996, maka ianya berperanan untuk mengawal selia profesion Perancang Bandar yang menjalankan amalan perancangan bandar di Malaysia.
Menteri yang bertanggungjawab bagi perkara yang berhubungan dengan perancangan bandar dan desa perlu melantik Anggota LPBM berdasarkan syarat berikut:
  1. hendaklah dilantik oleh Menteri bagi suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun;
  2. melainkan jika dia meletakkan jawatan terlebih dahulu atau pelantikannya dibatalkan terlebih dahulu, hendaklah memegang jawatan selama tempoh yang ditentukan dalam suratcara pelantikannya;
  3. adalah layak dilantik semula apabila habis tempoh kawatannya tetapi tidaklah boleh dilantik bagi lebih daripada tiga penggal berturut-turut; dan
  4. boleh, pada bila-bila masa, meletakkan jawatannya dengan surat yang ditujukan kepada Menteri.
Seorang Pendaftar LPBM juga hendaklah dilantik oleh Menteri bagi menyimpan dan menyelenggara senarai Daftar bagi Perancang Bandar Siswazah berdaftar, Perancang Bandar berdaftar, Pertubuhan Perbadanan dan Perakuan Praktis.
Fungsi LPBM merangkumi:
  1. Menyimpan dan menyenggara Daftar;
  2. Meluluskan atau menolak permohonan pendaftaran;
  3. Menetapkan skala fi;
  4. Menentukan etika profesion;
  5. Mengawal selia tatakelakuan profesion;
  6. Mendengar dan  memutuskan pertikaian;
  7. Mewakili profesion dalam apa-apa perkara yang perlu;
  8. Memeriksa, membuat laporan dan syor mengenai perundangan berkaitan profesion;
  9. Melantik suatu panel untuk menjalankan peperiksaan bagi penerimaan masuk ke profesion;
  10. Melantik seseorang atau wakil dalam sesuatu badan untuk mewakili profesion;
  11. Membuat syor kepada pihak berkuasa berhubung kelayakan bagi penerimaan masuk   ke profesion;
  12. Melantik anggota Lembaga untuk menganggotai sesuatu lembaga atau jawatankuasa yang menyentuh profesion; dan
  13. Melantik anggota Lembaga bagi menganggotai lembaga badan profesional lain jika perlu
LPBM melalui Majlis Areditasi Perancangan Bandar LPBM telah menjalankan akreditasi program perancangan bandar dan wilayah yang ditawarkan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT). Majlis Akreditasi ini juga berfungsi sebagai Jawatankuasa Teknikal Bersama (JTB) selaras dengan keperluan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 [Akta 679]. 
LPBM telah menetapkan fungsi Majlis Akreditasi Perancangan Bandar LPBM adalah seperti berikut:
  1. Menjalankan akreditasi bagi program pengajian perancangan bandar;
  2. Menggubal dan mengemaskini polisi dan kriteria akreditasi;
  3. Meluluskan garis panduan dan prosedur yang terperinci untuk akreditasi melalui Manual Akreditasi;
  4. Melantik ahli-ahli panel penilai;
  5. Menerima laporan penilaian ke atas program-program perancangan bandar dan menentukan penilaian akreditasi;
  6. Memberi respon ke atas segala aduan atau rayuan yang berkaitan dengan proses akreditasi dan terhadap apa-apa cadangan untuk perubahan;
  7. Melaporkan perjalanan akreditasi mengikut kesesuaian dan mengesyorkan perubahan kepada polisi Lembaga yang berkaitan dengan akreditasi;
  8. Menyebarkan perkembangan dan amalan terbaik perancangan bandar dan wilayah;
  9. Menasihati Lembaga mengenai kenyataan awam yang perlu dibuat berhubung dengan pendidikan perancangan bandar;
  10. Menyelia pembangunan dan operasi akreditasi di negara-negara lain dan membuat pengesyoran kepada Lembaga apabila perlu;
  11. Menguruskan pengiktirafan program perancangan bandar bagi permohonan bukan warganegara yang ingin menjalankan praktis di Malaysia; dan
  12. Berkerjasama dengan MQA dan menyelaras proses akreditasi untuk program perancangan bandar.

TOP