Lembaga Perancang Bandar Malaysia (LPBM) telah mengambil maklum berkenaan penggunaan logo rasmi LPBM oleh beberapa Pertubuhan Perbadanan pada pakaian korporat tanpa kebenaran bertulis daripada pihak LPBM.
Untuk makluman, penggunaan mana-mana lambang, logo atau identiti rasmi LPBM oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran bertulis daripada LPBM adalah dilarang dan merupakan satu pelanggaran terhadap hak milik dan identiti korporat LPBM.
Tindakan tidak sah ini boleh mengelirukan orang awam serta menimbulkan persepsi seolah-olah Pertubuhan Perbadanan tersebut merupakan wakil rasmi LPBM dalam mesyuarat, perbincangan atau sebarang urusan rasmi lain sedangkan perkara tersebut tidak berlaku.
LPBM memandang serius terhadap penyalahgunaan logo ini pada pakaian korporat Pertubuhan Perbadanan dan berhak mengambil tindakan sewajarnya termasuk tindakan undang-undang yang berkaitan selaras dengan peraturan sedia ada sekiranya pelanggaran ini berterusan.
Pihak LPBM akan terus memantau dan memastikan semua Pertubuhan Perbadanan mematuhi ketetapan ini bagi menjaga integriti, kredibiliti dan imej rasmi LPBM sebagai satu (1) entiti badan mengawalselia profesion perancang bandar di Malaysia.