Akreditasi

MAJLIS AKREDITASI PERANCANGAN BANDAR

Majlis Akreditasi Perancangan Bandar LPBM telah ditubuhkan bertujuan untuk menjalankan akreditasi program perancangan bandar dan wilayah yang ditawarkan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT). Majlis Akreditasi ini juga berfungsi sebagai Jawatankuasa Teknikal Bersama (JTB) selaras dengan keperluan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 [Akta 679].

Majlis Akreditasi Perancangan Bandar LPBM juga berperanan untuk membuat suatu syor perakuan untuk dipertimbangkan sebelum memperakukan akreditasi program PPT kepada LPBM selaras dengan peruntukan Seksyen 51 Akta 679. LPBM mempunyai hak untuk menerima atau menolak syor perakuan oleh Majlis Akreditasi Perancang Bandar LPBM.

Ahli Panel Penilai (APP) bagi Majlis Akreditasi Perancangan Bandar LPBM terdiri daripada:

  1. Pengerusi Majlis Akreditasi Perancangan Bandar LPBM (anggota LPBM iaitu Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia);
  2. Wakil dari Anggota LPBM;
  3. Wakil dari Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP);
  4. Wakil dari Institut Pengajian Tinggi dalam bidang Perancangan Bandar;
  5. Wakil dari PLANMalaysia;
  6. Wakil dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA); dan
  7. Wakil dari mana-mana agensi yang difikirkan perlu dari masa ke semasa.

LPBM telah menetapkan fungsi Majlis Akreditasi Perancangan Bandar LPBM adalah seperti berikut:

  1. Menjalankan akreditasi bagi program pengajian perancangan bandar;
  2. Menggubal dan mengemaskini polisi dan kriteria akreditasi;
  3. Meluluskan garis panduan dan prosedur yang terperinci untuk akreditasi melalui Manual Akreditasi;
  4. Melantik ahli-ahli panel penilai;
  5. Menerima laporan penilaian ke atas program-program perancangan bandar dan menentukan penilaian akreditasi;
  6. Memberi respon ke atas segala aduan atau rayuan yang berkaitan dengan proses akreditasi dan terhadap apa-apa cadangan untuk perubahan;
  7. Melaporkan perjalanan akreditasi mengikut kesesuaian dan mengesyorkan perubahan kepada polisi Lembaga yang berkaitan dengan akreditasi;
  8. Menyebarkan perkembangan dan amalan terbaik perancangan bandar dan wilayah;
  9. Menasihati Lembaga mengenai kenyataan awam yang perlu dibuat berhubung dengan pendidikan perancangan bandar; dan
  10. Menyelia pembangunan dan operasi akreditasi di negara-negara lain dan membuat pengesyoran kepada Lembaga apabila perlu;
  11. Menguruskan pengiktirafan program perancangan bandar bagi permohonan bukan warganegara yang ingin menjalankan praktis di Malaysia; dan
  12. Berkerjasama dengan MQA dan menyelaras proses akreditasi untuk program perancangan bandar.

AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA 

Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) telah ditubuhkan pada 1 November 2007 setelah penguatkuasaan Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007. Peranan utama MQA adalah untuk melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan rujukan kriteria serta standard kelayakan kebangsaan.

MANUAL AKREDITASI PROGRAM PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH

Manual Akreditasi Program Perancangan Bandar dan Wilayah (atau yang setara) disediakan oleh LPBM untuk dijadikan panduan dan rujukan kepada PPT bagi permohonan akreditasi program pengajian. Manual akreditasi juga bertujuan untuk memastikan keseragaman dan kualiti yang standard untuk tatacara proses akreditasi program dalam bidang perancangan bandar dan wilayah. Manual akreditasi ini terpakai kepada mana-mana PPT yang menawarkan program perancangan bandar dan wilayah sama ada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Politeknik. PPT yang ingin membuat permohonan akreditasi daripada LPBM hendaklah mematuhi proses, keperluan dan kriteria yang terkandung dalam manual ini.

Sila klik pautan Manual di sini.

PROGRAM PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH

Program pengajian perancangan bandar dan wilayah ini telah ditawarkan oleh PPT bertujuan untuk menghasilkan graduan profesional atau separa profesional dalam bidang perancangan bandar dan wilayah (atau setara). Sehingga kini, terdapat enam (6) PPT yang menawarkan program ini di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Polikteknik.

KELEBIHAN PERAKUAN AKREDITASI

Perakuan akreditasi yang diperolehi oleh PPT terhadap program yang ditawarkan mempunyai beberapa kelebihan seperti berikut:

  1. Program pengajian dan kelayakan tersebut telah melalui proses jaminan kualiti yang selaras dengan standard dan kriteria yang ditetapkan oleh LPBM dan MQA;
  2. Memudahkan pemindahan kredit untuk ke peringkat pengajian seterusnya, walau bagaimanapun pemindahan kredit subjek tertakluk kepada syaratsyarat dan keputusan muktamad PPT berkaitan;
  3. Menyediakan asas penyetaraan keayakan untuk melanjutkan pengajian di institusi tempatan atau luar Negara;
  4. Membolehkan pelajar dipertimbangkan untuk pelantikan ke perkhidmatan awam; dan
  5. Memudahkan pelajar mendapat bantuan kewangan seperti layak dIpertimbangkan untuk mendapat pinjaman daripada agensi pembiayaan.

JADUAL PERAKUAN AKREDITASI

UNIVERSITI PROGRAM TEMPOH
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA SARJANA MUDA PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH (KEPUJIAN)

1 JANUARI 2018 –

31 DISEMBER 2022

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (PUNCAK ALAM) SARJANA MUDA PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH (KEPUJIAN)

1 OGOS 2022–

31 JULAI 2027

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (SERI ISKANDAR)
SARJANA MUDA PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH (KEPUJIAN)

1 OGOS 2022–

31 JULAI 2027

UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA SARJANA MUDA PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH (KEPUJIAN)

1 JULAI 2021 –

30 JUN 2026

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA SARJANA SAINS (PERANCANGAN)

1 OKTOBER 2018 –

30 SEPTEMBER 2021


LANJUTAN TEMPOH SEHINGGA

30 SEPTEMBER 2022

SARJANA MUDA PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH (KEPUJIAN)

1 JULAI 2021 –

30 JUN 2025

UNIVERSITI MALAYA SARJANA MUDA PERANCANGAN BANDAR DAN WILAYAH (KEPUJIAN)

1 JULAI 2019 –

30 JUN 2024

TOP